ASAL USUL NAMA KUALA KLAWANG

gif1

 

Kuala Klawang mendapat nama melalui satu peristiwa yang berhubung kait. Adapun cerita ini tidak diketahui kesasihannya. Ia merupakan cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua di sini. Terdapat dua cerita yang berbeza. Cerita pertama diceritakan oleh masyarakat Melayu manakala cerita yang kedua pula datangnya dari masyarakat Cina. Menurut orang tua-tua, nama Kuala Klawang diperoleh sempena dengan penemuan siput kelewang yang banyak di kuala tersebut. Maka lama-kelamaan tempat itu dipanggil Kuala Klawang.

Orang-orang Cina pula percaya, dahulu, kuala sungai tersebut merupakan suatu kawasan yang sibuk dengan aktiviti perkapalan. Terdapat banayak kapal yang berlabuh di situ. Malah di kawasan tersebut telah berlakunya urus niaga  dan perdagangan. Ia menjadi tempat ‘ orang mengira wang ‘. Dengan pelat sebutan Cina iaitu ‘ kila wang ‘, lama-kelamaan sebutan itu menjadi ‘Kelawang’. Mengikut sebutan lama ‘Kuala Kelawang’ namun kini dipanggil “Kuala Klawang”.

Kuala Klawang tidak terkecuali daripada menerima cengkawan Inggeris. Malah terdapat batu tanda peringatan yang masih ada sehingga hari ini dan menjadi tapak sejarah. Batu Peringatan Inggeris Kuala Klawang Jelebu diasaskan secara bergotong-royong pada bulan Jun 1807 sebagai menunjukkan kesetiaan penduduk yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli, Melayu, Jawa, Cina, India dan Serani kepada pemerintahan Ratu Great Britain. Batu Peringatan ini dibina di atas  sebuah bukit yang diberi nama Bukit Undang yang terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Klawang dan kediaman Dato’ Ladang Abu Bakar Maamor. Dari atas bukit, pengunjung dapat menyaksikan keseluruhan Pekan Kuala Klawang.

Perubahan arus yang semakin pantas telah memberikan rupa baru kepada Kampung Kuala Klawang, Pekan Kuala Klawang serta Daerah Jelebu khasnya. Arus pembangunan semakin dirasai dan akhirnya Pekan Kuala Klawang menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Jelebu.

Membongkar       rahsia   Makam           Datuk   Moyang   Salleh

JELEBU : Makam Datuk Moyang Salleh dan Masjid Kuala Dulang yang terletak berhampiran pekan Kuala Klawang di sini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri. Menurut Kurator Muzium Adat, Prof. Norhalim Ibrahim, Datuk Moyang Salleh yang juga Undang Luak Jelebu yang pertama dipercayai hidup di sekitar awal abad ke-18 dan merupakan anakanda kepada Datuk Mentunggang serta cucunda Datuk Moyang Aceh.

Datuk Moyang Salleh terkenal dengan kegagahan dan keberaniannya. Almarhum merupakan tokoh yang memerdekakan Jelebu daripada jajahan takluk Johor. Peristiwa yang dikenali sebagai ‘Memutuskan Tali ke Johor’ itu dipercayai berlaku pada tahun 1725 dan Sultan Johor pada ketika itu berkenan mengurniakan gelaran Datuk Menduleka Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu kepada Datuk Moyang Salleh,” jelas beliau.

Gelaran tersebut dipakai oleh Datuk-Datuk Undang yang menyusul Almarhum dan selepas Undang Yang Ke-11, Datuk Syed Ali Syed Zain al-Jafri, ia dipendekkan kepada Dato’ Mendika Menteri Akhirul-Zaman hingga ke hari ini.

MINANGKABAU

Sementara Masjid Kuala Dulang yang struktur asalnya dibina di sekitar abad ke-16 terletak di kawasan penempatan pertama pendatang Minangkabau di Jelebu. Pendatang Minangkabau tersebut datang ke sini melalui dua jalan. Jalan yang pertama dikenali sebagai Jalan Penarikan bermula dari Sungai Muar menyusur ke Sungai Langkap hingga ke Sungai Lumut.

Jalan yang kedua pula bermula dari Sungai Rahang menyusur Sungai Triang seterusnya ke Kuala Dulang,” ujar Norhalim. Masjid Kuala Dulang merupakan yang tertua di sini dan pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam yang pertama di Jelebu.

Tambah beliau, kawasan di sekitar Masjid Kuala Dulang ini pada asalnya dihuni oleh Orang Asli dan mereka telah diislamkan oleh dua orang Minangkabau yang bergelar Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja. Kedua-dua tokoh tersebut membina sebuah pondok kecil sebagai tempat berteduh dan menyebarkan ajaran Islam. Lama-kelamaan, pondok tersebut dibesarkan menjadi Masjid Kuala Dulang dan dipercayai struktur asalnya dibina dengan tidak menggunakan paku.


SUMBER:http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm#ixzz48PNhS2RN

KAMPUNG GAGU TANAH BERADAT

 

Kepelbagaian adat di Malaysia sangat istimewa lantaran rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya. Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan identiti “Tanah Beradat”. Adat Perpatih merupakan amalan hidup yang dipegang secara turun-temurun oleh masyarakat di Negeri Sembilan. Salah satu daerah yang terdapat di Negeri Sembilan adalah Jelebu. Jelebu merupakan sebuah daerah yang sedang membangun dengan pelbagai prasarana yang lengkap untuk dinikmati oleh penduduk daerah tersebut.

Kampung Gagu merupakan sebuah kampung yang terletak di Mukim Ulu Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Jarak perjalanan ke Kampung Gagu kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kuala Klawang dan kira-kira 30 km dari Bandar Seremban. Terdapat satu mercu tanda yang dibina oleh kerajaan tempatan yang berbentuk buah-buah tempatan telah didirikan di tengah-tengah Pekan Jelebu. Perpustakaan Desa Kampung Gagu terletak di dalam Kampung Gagu yang berhampiran dengan Masjid Kariah Kampung Gagu.

Asal-usul Kampung Gagu bermula apabila kawasan kampung ini diteroka oleh seorang peneroka dari seberang sekitar tahun 90-an. Kawasan Kampung Gagu dahulunya diapit oleh bukit-bukau, hamparan tanaman padi dan kawasan kebun getah serta dusun. Kampung ini dibuka lebih dari 150 tahun oleh peneroka yang berasal dari Minangkabau. Kampung Gagu asalnya dipanggil kampung “solok” yang bererti “hulu” disebabkan kedudukan kawasan Kampung Gagu yang terpencil dan pedalaman.

Nama Gagu pula berasal dari perkataan “ragu”, kononnya sekumpulan penduduk asal dari Minangkabau yang datang meneroka berada dalam keadaan ragu apabila sampai di kaki Bukit Baling-Baling. Ia merupakan bukit tertinggi di Kampung Gagu yang memisahkan Kampung Renal dan Geliu Hulu Klawang. “Ragu” akhirnya menjadi “Gagu” kerana mengikut loghat pertuturan peneroka asalnya yang mewujudkan nama Kampung Gagu.

Ketua Kampung dahulunya juga digelar Datuk Empat merupakan gelaran yang dibawa dari Minangkabau. Di bawahnya ada empat suku Minang yang utama iaitu Suku Kota Piliang, Suku Sikumbang, Suku Jambak dan Suku Caniago. Seorang Datuk Empat merupakan ketua adat dan pentadbiran kampung ketika itu.

MASJID KAMPUNG KUALA DULANG

Masjid Kariah Kampung Kuala Dulang adalah suatu nama yang terkenal dengan sejarah yang unik dan masjid yang tertua di daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Lokasi masjid yang dibina pinggir tebing sungai di Kampung Peninjau kira-kira 1 kilometer dari bandar Kuala Klawang. Ia merupakan masjid yang tertua di daerah Jelebu. Dato’ Nika dan Mudin Katib Raja dikatakan sebagai pengasas dan pendakwah dari Minangkabau yang mula-mula menyebarkan agama Islam di Jelebu. Kedua-duanya juga dianggap peneroka yang membuka Kampung Peninjau.

Masjid Kuala Dulang yang asalnya sebuah bangsal beratapkan ijok yang menjadi tempat pendakwah itu berteduh. Didirikan pada abad ke-16, iaitu zaman awal kedatangan Islam ke Jelebu. Pada awalnya, sudah tentu pembinaannya tanpa menggunakan paku. Masjid lama ini juga mempunyai kisah misteri yang melibatkan asal usul nama masjid Kuala Dulang ini. Peristiwa kehadiran dulang yang berisi makanan dan tidak diketahui siapa yang menghidangkannya. Yang anehnya, seramai manapun jemaah yang hadir, makanan itu tetap cukup tanpa perlu ditambah untuk semua termasuk musafir. Kejadian itu berlarutan berberapa tahun sehinggalah kemudiannya dulang itu hilang begitu sahaja tanpa diketahui siapakah empunyanya.

Pada hari ini, masjid ini masih lagi digunakan dengan aktif. Walaupun beberapa perubahan telah dilakukan terhadap masjid ini, keaslian struktur asalnya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini.


Cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini. Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat.

Penulis mendengar sendiri kisah yang diceritakan oleh Mat Zain Yaacob selaku Pengerusi Masjid dan Imam II Kariah Kuala Dulang, Abu Zarin Maarof. Tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu masuk waktu sembahyang juga masih dikekalkan. Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid iaitu pada abad ke-16.

Penulis juga bertanya kepada Pengerusi Masjid Kuala Dulang mengenai banjir yang melanda kawasan itu pada masa dulu. Banjir besar berlaku dua kali iaitu sebelum merdeka dan pada awal tahun 70-an. Ramai penduduk yang pelik dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.

“Ada seperti ranting kayu di sungai ketika itu. Ia seolah-olah mengalihkan air banjir dari masuk ke kawasan masjid”

Begitulah kisahnya rumah Allah yang mempunyai kelebihannya tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah terus beribadat di rumah Allah. Jagalah hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita dengan Manusia.