ASAL USUL NAMA KUALA KLAWANG

gif1

 

Kuala Klawang mendapat nama melalui satu peristiwa yang berhubung kait. Adapun cerita ini tidak diketahui kesasihannya. Ia merupakan cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua di sini. Terdapat dua cerita yang berbeza. Cerita pertama diceritakan oleh masyarakat Melayu manakala cerita yang kedua pula datangnya dari masyarakat Cina. Menurut orang tua-tua, nama Kuala Klawang diperoleh sempena dengan penemuan siput kelewang yang banyak di kuala tersebut. Maka lama-kelamaan tempat itu dipanggil Kuala Klawang.

Orang-orang Cina pula percaya, dahulu, kuala sungai tersebut merupakan suatu kawasan yang sibuk dengan aktiviti perkapalan. Terdapat banayak kapal yang berlabuh di situ. Malah di kawasan tersebut telah berlakunya urus niaga  dan perdagangan. Ia menjadi tempat ‘ orang mengira wang ‘. Dengan pelat sebutan Cina iaitu ‘ kila wang ‘, lama-kelamaan sebutan itu menjadi ‘Kelawang’. Mengikut sebutan lama ‘Kuala Kelawang’ namun kini dipanggil “Kuala Klawang”.

Kuala Klawang tidak terkecuali daripada menerima cengkawan Inggeris. Malah terdapat batu tanda peringatan yang masih ada sehingga hari ini dan menjadi tapak sejarah. Batu Peringatan Inggeris Kuala Klawang Jelebu diasaskan secara bergotong-royong pada bulan Jun 1807 sebagai menunjukkan kesetiaan penduduk yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli, Melayu, Jawa, Cina, India dan Serani kepada pemerintahan Ratu Great Britain. Batu Peringatan ini dibina di atas  sebuah bukit yang diberi nama Bukit Undang yang terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Klawang dan kediaman Dato’ Ladang Abu Bakar Maamor. Dari atas bukit, pengunjung dapat menyaksikan keseluruhan Pekan Kuala Klawang.

Perubahan arus yang semakin pantas telah memberikan rupa baru kepada Kampung Kuala Klawang, Pekan Kuala Klawang serta Daerah Jelebu khasnya. Arus pembangunan semakin dirasai dan akhirnya Pekan Kuala Klawang menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Jelebu.

Membongkar       rahsia   Makam           Datuk   Moyang   Salleh

JELEBU : Makam Datuk Moyang Salleh dan Masjid Kuala Dulang yang terletak berhampiran pekan Kuala Klawang di sini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri. Menurut Kurator Muzium Adat, Prof. Norhalim Ibrahim, Datuk Moyang Salleh yang juga Undang Luak Jelebu yang pertama dipercayai hidup di sekitar awal abad ke-18 dan merupakan anakanda kepada Datuk Mentunggang serta cucunda Datuk Moyang Aceh.

Datuk Moyang Salleh terkenal dengan kegagahan dan keberaniannya. Almarhum merupakan tokoh yang memerdekakan Jelebu daripada jajahan takluk Johor. Peristiwa yang dikenali sebagai ‘Memutuskan Tali ke Johor’ itu dipercayai berlaku pada tahun 1725 dan Sultan Johor pada ketika itu berkenan mengurniakan gelaran Datuk Menduleka Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu kepada Datuk Moyang Salleh,” jelas beliau.

Gelaran tersebut dipakai oleh Datuk-Datuk Undang yang menyusul Almarhum dan selepas Undang Yang Ke-11, Datuk Syed Ali Syed Zain al-Jafri, ia dipendekkan kepada Dato’ Mendika Menteri Akhirul-Zaman hingga ke hari ini.

MINANGKABAU

Sementara Masjid Kuala Dulang yang struktur asalnya dibina di sekitar abad ke-16 terletak di kawasan penempatan pertama pendatang Minangkabau di Jelebu. Pendatang Minangkabau tersebut datang ke sini melalui dua jalan. Jalan yang pertama dikenali sebagai Jalan Penarikan bermula dari Sungai Muar menyusur ke Sungai Langkap hingga ke Sungai Lumut.

Jalan yang kedua pula bermula dari Sungai Rahang menyusur Sungai Triang seterusnya ke Kuala Dulang,” ujar Norhalim. Masjid Kuala Dulang merupakan yang tertua di sini dan pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam yang pertama di Jelebu.

Tambah beliau, kawasan di sekitar Masjid Kuala Dulang ini pada asalnya dihuni oleh Orang Asli dan mereka telah diislamkan oleh dua orang Minangkabau yang bergelar Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja. Kedua-dua tokoh tersebut membina sebuah pondok kecil sebagai tempat berteduh dan menyebarkan ajaran Islam. Lama-kelamaan, pondok tersebut dibesarkan menjadi Masjid Kuala Dulang dan dipercayai struktur asalnya dibina dengan tidak menggunakan paku.


SUMBER:http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm#ixzz48PNhS2RN

KAMPUNG GAGU TANAH BERADAT

 

Kepelbagaian adat di Malaysia sangat istimewa lantaran rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya. Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan identiti “Tanah Beradat”. Adat Perpatih merupakan amalan hidup yang dipegang secara turun-temurun oleh masyarakat di Negeri Sembilan. Salah satu daerah yang terdapat di Negeri Sembilan adalah Jelebu. Jelebu merupakan sebuah daerah yang sedang membangun dengan pelbagai prasarana yang lengkap untuk dinikmati oleh penduduk daerah tersebut.

Kampung Gagu merupakan sebuah kampung yang terletak di Mukim Ulu Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Jarak perjalanan ke Kampung Gagu kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kuala Klawang dan kira-kira 30 km dari Bandar Seremban. Terdapat satu mercu tanda yang dibina oleh kerajaan tempatan yang berbentuk buah-buah tempatan telah didirikan di tengah-tengah Pekan Jelebu. Perpustakaan Desa Kampung Gagu terletak di dalam Kampung Gagu yang berhampiran dengan Masjid Kariah Kampung Gagu.

Asal-usul Kampung Gagu bermula apabila kawasan kampung ini diteroka oleh seorang peneroka dari seberang sekitar tahun 90-an. Kawasan Kampung Gagu dahulunya diapit oleh bukit-bukau, hamparan tanaman padi dan kawasan kebun getah serta dusun. Kampung ini dibuka lebih dari 150 tahun oleh peneroka yang berasal dari Minangkabau. Kampung Gagu asalnya dipanggil kampung “solok” yang bererti “hulu” disebabkan kedudukan kawasan Kampung Gagu yang terpencil dan pedalaman.

Nama Gagu pula berasal dari perkataan “ragu”, kononnya sekumpulan penduduk asal dari Minangkabau yang datang meneroka berada dalam keadaan ragu apabila sampai di kaki Bukit Baling-Baling. Ia merupakan bukit tertinggi di Kampung Gagu yang memisahkan Kampung Renal dan Geliu Hulu Klawang. “Ragu” akhirnya menjadi “Gagu” kerana mengikut loghat pertuturan peneroka asalnya yang mewujudkan nama Kampung Gagu.

Ketua Kampung dahulunya juga digelar Datuk Empat merupakan gelaran yang dibawa dari Minangkabau. Di bawahnya ada empat suku Minang yang utama iaitu Suku Kota Piliang, Suku Sikumbang, Suku Jambak dan Suku Caniago. Seorang Datuk Empat merupakan ketua adat dan pentadbiran kampung ketika itu.

MASJID KAMPUNG KUALA DULANG

Masjid Kariah Kampung Kuala Dulang adalah suatu nama yang terkenal dengan sejarah yang unik dan masjid yang tertua di daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Lokasi masjid yang dibina pinggir tebing sungai di Kampung Peninjau kira-kira 1 kilometer dari bandar Kuala Klawang. Ia merupakan masjid yang tertua di daerah Jelebu. Dato’ Nika dan Mudin Katib Raja dikatakan sebagai pengasas dan pendakwah dari Minangkabau yang mula-mula menyebarkan agama Islam di Jelebu. Kedua-duanya juga dianggap peneroka yang membuka Kampung Peninjau.

Masjid Kuala Dulang yang asalnya sebuah bangsal beratapkan ijok yang menjadi tempat pendakwah itu berteduh. Didirikan pada abad ke-16, iaitu zaman awal kedatangan Islam ke Jelebu. Pada awalnya, sudah tentu pembinaannya tanpa menggunakan paku. Masjid lama ini juga mempunyai kisah misteri yang melibatkan asal usul nama masjid Kuala Dulang ini. Peristiwa kehadiran dulang yang berisi makanan dan tidak diketahui siapa yang menghidangkannya. Yang anehnya, seramai manapun jemaah yang hadir, makanan itu tetap cukup tanpa perlu ditambah untuk semua termasuk musafir. Kejadian itu berlarutan berberapa tahun sehinggalah kemudiannya dulang itu hilang begitu sahaja tanpa diketahui siapakah empunyanya.

Pada hari ini, masjid ini masih lagi digunakan dengan aktif. Walaupun beberapa perubahan telah dilakukan terhadap masjid ini, keaslian struktur asalnya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini.


Cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini. Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat.

Penulis mendengar sendiri kisah yang diceritakan oleh Mat Zain Yaacob selaku Pengerusi Masjid dan Imam II Kariah Kuala Dulang, Abu Zarin Maarof. Tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu masuk waktu sembahyang juga masih dikekalkan. Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid iaitu pada abad ke-16.

Penulis juga bertanya kepada Pengerusi Masjid Kuala Dulang mengenai banjir yang melanda kawasan itu pada masa dulu. Banjir besar berlaku dua kali iaitu sebelum merdeka dan pada awal tahun 70-an. Ramai penduduk yang pelik dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.

“Ada seperti ranting kayu di sungai ketika itu. Ia seolah-olah mengalihkan air banjir dari masuk ke kawasan masjid”

Begitulah kisahnya rumah Allah yang mempunyai kelebihannya tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah terus beribadat di rumah Allah. Jagalah hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita dengan Manusia.

14 IDENTITI DAN BUDAYA NEGERI SEMBILAN :

1. Adat : Adat Perpatih.
2. Bangunan : Rumah Tradisional Berbumbung Lentik
3.Bunga : Bunga Tanjung
4. Haiwan : Kerbau
5. Juadah : Lemang
6. Kuih-muih : Penganan dan cucur
7. Lagu : Bongai
8. Lambang : Istana Seri Menanti
9. Masakan : Masak Lemak Lado Api
10.Minuman : Air Jando Pulang
11. Muzik : Caklempong dan Tumbuk Kalang
12. Permainan : Dam Melayu
13. Senjata : Cangai Puteri
14. Produk Kraftangan : Buluh dan Rotan

                                                                                     SEJARAH JELEBU

         

                              Pemandangan Kuala Klawang pada tahun 1980-an

Menurut cerita orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi, kisah tentang seorang Tok Batin yang telah membuka sebuah ladang labu dan tanaman labunya cukup subur sehingga akar labunya menjalar ke Ulu Klawang. Kerana kesuburan labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang ke ladang labu Tok Batin tersebut.Mereka menamakan tempat itu sebagai ‘Jalar Labu' sehingga lama-kelamaan bertukar menjadi Jelebu.

Sejarah pembukaan Jelebu selalu dikaitkan dengan kedatangan orang Minangkabau. Pada asalnya Jelebu didiami oleh kaum orang asli keturunan Temuan dari suku Biduanda. Kisah bermula apabila Batin Terjali anak kepada Maharaja Alif yang memerintah kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau, pergi mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan lagi pemerintahan ayah baginda. Setelah jauh mengembara Batin Terjali dan pengikut-pengikutnya sampai di Bukit Kundik di Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang asli di kawasan tersebut.

Semasa di Jelebu, Isteri Batin Terjali iaitu Puteri Embong Sari melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembarannya, Batin Terjali telah mewariskan putera baginda kepada ketua suku orang asli supaya menjaga puteranya dan apabila besar kelak hendaklah dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.

Ketua orang asli telah menepati janjinya dan Datok Niko Menteri Shah Maku Alam Raja Sehari dilantik menjadi penghulu Jelebu. Maka wujudlah pemerintahan putera Batin Terjali dan hubungan antara orang Minangkabau dan orang asli pun terjalin dan sejak itulah orang Minangkabau mula berhijrah ke Jelebu. Dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Metunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.

Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan dan penanaman tumbuhan di Jelebu adalah sangat subur.

SUMBER : PORTAL RASMI MAJLIS DAERAH JELEBU

SEJARAH NAMA NEGERI SEMBILAN

Asal Usul Nama Negeri Sembilan :

Nama Negeri Sembilan pada asalnya diambil dari sembilan daerah dan dibakukan menjadi Negeri Sembilan. Pada masa kini hanya tinggal tujuh daerah di Negeri Sembilan iaitu :

1.Jelebu (جلبو)
2.Jempol (جمڨول)
3.Seremban (سرمبن)
4.Kuala Pilah (كوالا ڨيله)
5.Rembau (رمباو)
6.Port Dickson (ڨورت ديكسون)
7.Tampin (تمڨين)

9 Daerah Negeri Sembilan sebelum diubah :

1.Jelebu (جلبو)
2.Inas (اينس)
3.Johol (جوهول)
4.Rembau (رمباو)
5.Sungai Ujong (سوڠاي اوجوڠ)
6.Tampin (تمڨين)
7.Jempol (جمڨول)
8.Ulu Muar (اولو موار)
9.Gunung Pasir (ݢونوڠ ڤاسير)

Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu. Daerah Negeri Sembilan masa dahulu yang kini telah menjadi sebahagian daripada daerah negeri lain ialah Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor,Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau,Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang,dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding Negeri Sembilan yang asal.

1. ASAL USUL NAMA JELEBU 

Tanah Jelebu itu sebenarnya satu sahaja,tiada  yang lain. Tapi disebabkan ramai orang pandai dan banyak hikayat direkacipta,maka bermacam-macam versi Jelebu yang timbul dari satu mulut ke satu mulut. Ada juga yang terbit dalam bentuk teks bertulis di dada akhbar, di perut majalah dan juga dibukukan sebagai jurnal akademik. Macam cendawan kukur tumbuh merutup di kayu getah mati lepas hujan. Di bawah ini adalah salah satu versi yang dianggap asli.
Luak (daerah) bertuah ini mulanya dikenali sebagai Sungai Lumut. Nama Jelebu ini datang kemudian, bermula daripada kisah Biduanda-Biduanda Jakun yang berasal dari tempat bernama Batang Labu (kini Labu) di Semujong (Daerah Seremban), datang membawa benih labu ke Sungai Lumut. Setelah beberapa hari perjalanan, apabila sampai di Ulu Teriang hari telah malam. Ketika bersiap-siap untuk tidur, Biduanda-Biduanda Jakun nampak bintang di langit sangat banyak. Beribu juta. Itu tandanya kalau mereka bertanam labu tentu menjadi!

Esoknya benih labu itu pun ditanam oleh Biduanda-Biduanda Jakun itu di sekitar tebing Sungai Teriang dan didapati sangat subur hidupnya. Menjalarlah pokok labu yang ditanam itu memenuhi kawasan tersebut. Tiba masanya labu itu rajin berbunga, seterusnya berputik dan bila berbuah, buahnya pun sangat banyak. Sedar dengan keadaan tersebut, Biduanda-Biduanda Jakun itu bermuafakat lalu mengubah nama tempat itu sebagai JALAR LABU, mengambil sempena tuah labu yang tumbuh di situ. Lama kelamaan sebutan Jalar Labu itu bertukar menjadi JELEBU. Demikianlah mulanya nama tanah Jelebu itu.

2. TEMPAT KERAMAT 

Batin Etah adalah salah seorang daripada waris Biduanda-Biduanda Jakun tanah Jelebu yang sangat kacak lagi perkasa orangnya. Beliau telah mengembara mencari pengalaman hidup hingga sampai di Pagar Ruyung. Di tanah Minangkabau ini dia bertemu jodoh dan mendapat seorang anak lelaki dinamakan Batin Terjali. Setelah remaja Batin Terjali balik ke Bukit Kundik, tanah Jelebu diiringi seorang kerabat raja Minangkabau bernama Sultan Alif.

Batin Terjali ada seorang anak lelaki bernama Lambung Setia Raja. Lambung Setia Raja ini sangat asyik (berminat) belajar ilmu pawang dan pernah berguru dengan segala pawang yang ada di tanah Jelebu dan juga di jajahan negeri Pahang yang bersempadan dengan tanah Jelebu. Setelah ilmunya cukup Lambung Setia Raja pun menjadi Pawang Besar di tanah Jelebu. Sultan Alif pula mempunyai seorang anak lelaki bernama Shah Alam Raja Sehari yang handal dalam ilmu tetemeh ; iaitu ilmu tilik yang diwarisi dari Pagar Ruyung, tanah Minangkabau.

Memikirkan dirinya telah berusia lanjut, Batin Terjali dan Sultan Alif mengadakan rundingan di Gunung Pertemuan. Dalam rundingan itu Batin Terjali dan Sultan Alif bersepakat melantik Lambung Setia Raja anak Batin Terjali menjadi Batin (Raja yang memerintah) dan Shah Alam Raja Sehari anak Sultan Alif menjadi menterinya (penasihat Raja yang memerintah). Keputusan rundingan ini pun disebarkan kepada kaum asli yang tinggal di sekitar Gunung Pertemuan itu.

Setelah menyandang jawatan yang dilantik, mereka berdua diperintah turun daripada Gunung Pertemuan. Batin Terjali dan Sultan Alif berpesan kepada anak mereka berdua: barang di mana mereka bertemu dengan nasi sedulang di situlah mereka kena meneroka tempat kediaman dan nasi sedulang itu hendaklah mereka berdua makan.

Setelah mendengar pesanan ayahnya itu Batin muda Lambung Setia Raja dan Menterinya Syah Alam Raja Sehari pun turun dari Gunung Pertemuan lalu mengembara untuk membuka negeri. Mereka berdua tiba di sebuah bukit bernama Bukit Buaian. Di kaki Bukit Buaian itu, di atas tebing kuala sungai mereka terjumpa sedulang nasi yang menunggu kedatangan mereka. Kedua-duanya pun bekerjalah meneroka tempat di tebing kuala sungai itu menurut amanah ayah mereka (Batin tua dan Menteri tua). Setelah penat bekerja mereka pun makan nasi sedulang itu. Tempat itu terus dinamakan Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu ini.
SUMBER : https://ms.wikipedia.org/wiki/Negeri_Sembilan

2.1  Masjid Kuala Dulang

masjid2

Masjid asal pada waktu dahulu

DSC03556

Masjid Kuala Dulang pada masa kini

Satu ketika, kira-kira pada abad ke-16 masihi, Dato’ Gamboh (Raja Khatib) dan Dato’ Nika dari Pagar Ruyong Minangkabau keluar ziarah untuk mengislamkan penduduk asli (tempatan) Ulu Pahang dan kawasan-kawasan sekitarnya dalam jajahan Kesultanan Johor Lama. Setelah mendapat izin dari Sultan Johor, Raja Khatib mengembara mengikut jalan Laut China Selatan, mudik di sungai Pahang, menyusur Sungai Teriang, lalu sampai ke tanah Jelebu. 

Di tempat bernama Juntai dia turun dari perahunya dan berdiri di atas hamparan pasir di tebing sungai (kini Kampung Pasir Panggil) lalu melaungkan azan menyeru orang di situ memeluk Islam. Orang yang menyahut seruan Raja Khatib telah ikut mudik ke hulu sungai (kini meliputi Kampung-kampung dari Juntai, Petasih, Pergai, Solok Temoi, Peradong, Kuala Pah, Simpang Gelami, Relai, Kampai, Chenor, Jelin dan Bandar Tinggi) hingga sampai ke Kuala Lumut (kini Kampung Jelebu Tengah/Pekan Kuala Klawang). Di Kuala Lumut ia berjumpa Waris Biduanda Tua, seorang perempuan bernama Moyang Angsa dan mengislamkannya. Di Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu (kini dikenali tebing sungai Kampung Peninjau) Raja Khatib dan Dato’ Nika mendirikan sebuah bangsal beratap ijuk sebagai tempat berteduh dan markas mengajar orang-orang biduanda di sekitar kawasan itu mendalami ilmu Islam. 

Bangsal beratap ijuk ini mempunyai kisah yang penuh misteri kerana berlaku kehadiran dulang berisi sajian makanan yang tidak diketahui siapa menghidangkannya. Walau seramai mana pun jemaah yang hadir untuk belajar tentang agama Islam di bangsal itu, makanan yang sedia terhidang itu sentiasa cukup untuk semua jemaah tanpa perlu ditambah. Kejadian ini berlarutan sehinggalah Raja Khatib telah habis mudik sehingga jauh ke Ulu Jelebu (kini meliputi Kampung-kampung Chepam, Guntong, Bukit, Kelembang dan Ulu Jelebu) dan seluruh kawasan Ulu Kelawang (kini meliputi Kampung-kampung Batu Piatu, Binjai, Tembon, Kemin, Tanjong, Jambatan Serong, Lalang, Batu Serambai, Batu Seremban, Renal, Bukit, Pengenting, Tanjong Berangan, Tanjong Chacha, Kelaka, Sg. Gunong Daun, Rambai Baris, Batu Tangga dan Ulu Kelawang), dan telah mengislamkan orang-orang biduanda di seluruh kawasan tersebut.

Menurut orang tua-tua tanah Jelebu, Bangsal Beratap Ijuk itulah bangunan asal Masjid Kuala Dulang yang merupakan masjid tertua di Tanah Jelebu. Ia diasaskan oleh Ulamak terbilang Raja Khatib dan Dato’ Nika iaitu zaman awal Islam tersebar di tanah Jelebu ini. Tapaknya terletak di atas tebing sungai Kampung Peninjau, kira-kira lima kilometer dari Pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

 SUMBER : http://maruwiah.com/2011/04/30/sejarah-jelebu/